fb fb fb fb fb

Jalan Alor jadi penanda aras premis bersih, bebas rokok

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 5 September - Jalan Alor, Kuala Lumpur menunjukkan perubahan tingkah laku ketara dalam aspek kebersihan makanan dan larangan merokok dengan Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) meningkat daripada tiga ke tujuh premis sejak Februari hingga kini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, kadar penilaian pemeriksaan premis juga meningkat daripada 60 hingga 90 peratus.

Jumlah premis yang diarahkan tutup pula berkurangan daripada tiga kepada satu premis, manakala jumlah notis kesalahan merokok menunjukkan penurunan daripada 37 notis kepada lima notis kesalahan.

Jalan Alor merupakan penanda aras utama bagi memastikan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) berjaya.

Bagi memperkasa inisiatif itu, Program BeBAs telah dijalankan di Jalan Dhoby, di sini melibatkan 30 premis dan sembilan daripadanya menerima pengiktirafan BeSS.

Turut menyertai program itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kita mulakan pada Februari, di Jalan Alor untuk pertamanya di Bukit Bintang. Hari ini kita di Jalan Dhoby, jadi kita akan teruskan usaha-usaha ini untuk memberikan keterangan pencerahan bagi mengizinkan rakyat, membudayakan premis bersih dan bersih asap rokok," katanya.

Hingga kini terdapat 12,189 premis menerima pengiktirafan BeSS dengan 1,083 daripadanya berada di Johor.

TETITIA YUSOFF