BALING, 5 September - Hujan lebat beserta angin kencang yang berlaku petang tadi menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang di Daerah Baling dan Sik.
Bagaimanapun kejadian hanya menyebabkan kerosakan harta benda dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Di Baling Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah memaklumkan, pihaknya menerima satu laporan daripada orang awam mengenai kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan utama di Kampung Charok Bemban.
Beberapa anggota APM ditugaskan memotong dan membersihkan pokok tumbang yang melintasi jalan raya.
"Kes berjaya diselesaikan. Terima kasih pada anggota yang menjalankan tugas dengan sempurna." kata APM Daerah Baling.
Sementara itu di Sik, beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan.
APM Daerah Sik memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kes pokok tumbang yang menimpa tiga tiang elektrik di Kampung Charok Tala, Jeneri.
Pasukan APM diketuai Sarjan (PA) Mohd Zamri Fakhordzi bersama-sama tiga anggota respon terhadap kes berkenaan.
Sementara menunggu ketibaan APM dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) tiba di lokasi beberapa orang awam telah membersihkan dahan pokok yang tumbang.
"Alhamdulillah kes berjaya diselesaikan dengan jayanya. Sebarang kes kecemasan orang awam di Daerah Sik boleh menghubungi APM Sik ditalian 0108177991 atau talian kecemasan 999." kata APM Daerah Sik dalam kenyataan disini.