KUANTAN, 5 September - Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memandang serius berhubung kes keganasan fizikal melibatkan kerabat diraja Pahang yang tular di media sosial.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan baginda bertitah, agar pihak polis menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi mana-mana pihak.
"Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan," titah baginda.
Baginda bertitah lagi, pihaknya tidak sesekali akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang.
Sebelum ini tular di media sosial mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama-sama sekumpulan didakwa menyerang individu bernama Alias Awang menggunakan senjata tajam serta pistol sehingga mendatangkan kecederaan yang berlaku di sini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dipetik berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan, sebelum diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Beberapa individu menurut Yahaya sudah ditahan sebelum ini berhubung kes terbabit, dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes berkenaan.