SELANGOR, 18 Januari - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.
Berikutan perkenan terkini Sultan Selangor, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan JAIS kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat, untuk dilaksanakan Jumaat ini.
Ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35%, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau.
Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaharu ini.
JAIS berharap agar ketetapan baharu ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan Solat Fardu Jumaat.