fb fb fb fb fb

Jabatan Perhilitan pindahkan gajah liar Pos Perwor

(Gajah liar seberat 2 tan yang ditangkap pada 9 Julai lepas)

SUNGAI SIPUT, 12 Julai- Jabatan Perhilitan telah menjalankan operasi memindah gajah liar di Pos Perwor, Sungai Siput, hari ini.

Operasi memindahkan gajah liar itu menggunakan bantuan gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka, iaitu Kala dan Suria untuk dijadikan sebagai denak bagi mengumpan gajah liar berkenaan.

Penolong Pengarah Pusat konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 30 anggota dari UTK Perak, Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput, PKGK Kuala Gandah dan PKGK Sungai Deka.

"Untuk hari ini, kita pindahkan seekor gajah betina berusia lebih kurang 12 ke 15 tahun, merupakan ID Gajah Piah yang untuk makluman di kawasan ini kita menerima enam aduan serius dan kita percaya gajah ini adalah merupakan salah satu gajah dalam kumpulan ID Piah,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam Operasi Pindah Gajah di Pos Perwor, Sungai Siput.

Tambah beliau, gajah berkenaan merupakan antara gajah yang dipercayai menganggu kawasan penduduk dan Sekolah Kebangsaan Pos Perwor pada bulan lepas.

Gajah liar seberat 2 tan itu telah berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan pada 9 Julai lepas.

Tambah Abu, gajah tersebut akan dipindahkan ke habitat asal, mengikut kesesuaian habitatnya.


(Penolong Pengarah Pusat konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah,
Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah)

Media Baharu