fb fb fb fb fb

Cadangan pindaan Perlembagaan mengenai kewarganegaraan bakal dibentangkan kepada MRR

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Lapan cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan dijangka dipersembahkan di mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menyiapkan dokumen pembentangan meliputi kesemua cadangan pindaan daripada kerajaan dan pandangan rakyat sebelum dipersembahkan kepada MRR.

Katanya, lapan cadangan pindaan itu dikenal pasti berdasarkan dapatan analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet.

Ini termasuk Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan.

Sebarang cadangan pindaan berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan MRR selaras dengan kehendak Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan pindaan turut memerlukan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dalam hal pindaan menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara.

Tambah Zalina, kerajaan juga memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka.

Pindaan itu memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperolehi kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan juga komited dalam membentangkan cadangan pindaan yang adil dan wajar dengan mengambilkira pandangan daripada semua pihak berkepentingan serta suara rakyat.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang
dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said)

Media Baharu