KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Empat sekeluarga, termasuk pasangan warga emas yang juga pengusaha kedai pemborong makanan ringan dan barangan keperluan, nyaris maut apabila premis perniagaan mereka di Jalan Hiliran, di sini, terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.06 pagi, Khoo Yok Min, 80 dan isterinya, Cho Yu Liang, 80, yang berada di tingkat tiga bangunan empat tingkat itu, segera keluar selepas melihat asap di dalam premis.
Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat bawah kedai yang diusahakan pasangan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata operasi pemadaman melibatkan 50 anggota dari Balai Bomba Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang dengan bantuan enam jentera.
"Terdapat banyak stok bahan mudah terbakar seperti makanan ringan dan bahan letupan seperti Ridsect, yang menyukarkan pasukan bomba masuk ke dalam bangunan. Selepas memotong papan tanda kedai dan grill, barulah bomba dapat masuk," katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.