PUTRAJAYA, 17 Oktober - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan pelaksanaan fasa asas di peringkat sekolah terlebih dahulu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata fasa latihan asas itu akan mengandungi elemen jati diri, cinta negara, serta modul kenegaraan yang menekankan perpaduan.
"Selain itu, latihan asas juga akan merangkumi elemen ketenteraan dan pengisian modul kenegaraan, termasuk pendedahan kepada politik Malaysia, peranan Dewan Rakyat, Dewan Negara, serta konsep Raja Berperlembagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Amal Persekutuan Pengakap Malaysia 2024 di sini, malam tadi.
Tambah Johari, latihan tersebut akan bersifat intensif dan praktikal dengan tujuan melahirkan pemimpin negara yang berkualiti pada masa hadapan.