fb fb fb fb fb

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serius perkasa pentadbiran Mahkamah Syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar/BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Februari- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa peka dan mengambil langkah yang serius dalam memperkasa Pentadbiran Mahkamah Syariah selaras Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, antara usaha yang sedang dilakukan agensi itu adalah melakukan kajian dan pindaan terhadap undang-undang syariah agar sesuai dengan keadaan semasa termasuklah cadangan pindaan kepada Akta 355.

"Bukan sahaja daripada perspektif meluaskan bidang kuasa yang sedia ada, yang itu kita buat contohnya Rang Undang-undang Mahkamah Syariah yang kita akan bawa insya-Allah bersekali dengan RUU 355.

"RUU 355 itu, bagaimana kita hendak meningkatkan kuasa hukuman yang ada pada Mahkamah-mahkamah Syariah daripada sekarang iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan kepada meningkatkan dari sudut hukuman.

"Jadi, selain daripada itu dalam Rang Undang-undang Mahkamah Syariah yang kita akan bawa juga nanti mempertingkatkan struktur mahkamah yang sedia ada", katanya kepada media selepas merasmikan Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya.

Menurut Datuk Dr Mohd Naim, pihaknya cuba untuk menambah lagi satu peringkat mahkamah selepas rayuan supaya mereka yang memfailkan hukuman di Mahkamah Tinggi juga mendapat peluang untuk merayu dua kali, seperti mana mereka yang memfailkan hukuman di mahkamah rendah.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam juga bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hasil kajian, pandangan dan syor oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, selain proses libat urus bersama kerajaan negeri untuk memberikan pandangan kerana undang-undang syariah melibatkan kerajaan Negeri.

Jelasnya, tujuan utama jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk mencari jalan dalam menyelesaikan isu pertindihan ini dengan harmoni.

ROSLINA BINTI DIN