PUTRAJAYA, 17 Februari- Perlu ada ketelusan dan mengikut saluran betul dalam menguruskan kutipan derma yang diterima, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, setiap pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu mengikut tadbir urus yang betul dan amanah.
"Itu sebabnya dalam soal pengurusan tata kelola (tadbir urus) kena teliti, kutip derma (misalnya untuk) buat sekolah maahad tahfiz, ia kena ada peraturan.
"Kalau tidak, dia kutip (derma) itu kemudian beli kereta, baiki rumah. Sebab itu kena ikut peraturan.
"Ini kes Aman Palestin, kes mahkamah sekarang, menunjukkan bahawa bolehkah kita kutip derma puluh juta, kemudian belanja untuk yang lain? Padahal orang disana (Palestin) terdesak, makan pun susah. Jadi ini satu pengajaran," katanya.
Tambah Anwar, setiap kutipan yang diterima perlu dimanfaatkan kepada tujuan asal dan ia tidak boleh dibazirkan untuk perkara lain.
Jumlah derma berkenaan juga perlu diteliti dan selari dengan nilai yang diserahkan kepada golongan sasar.
"Semua derma begini (perlu) ikut saluran (betul), teliti jumlahnya dan apa dibeli dan berapa banyak yang diserahkan," katanya.
Beliau bercakap demikian kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat di sini hari ini.