fb fb fb fb fb

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis laksana Ops Lebaran Bebas Asap Rokok

KANGAR, 14 Mei - Seramai 23 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri serta Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan Ops Lebaran Bebas Asap Rokok malam tadi.

Tumpuan operasi dikawasan tumpuan perniagaan di Persiaran Makanan Bintong melibatkan pemeriksaan ke atas 33 premis perniagaan.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ghazali Chik, dalam operasi berkenaan sebanyak 7 notis dikeluarkan iaitu 5 notis kepada orang awam kerana merokok di premis makanan mengikut peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Manakala 2 premis makanan turut diberikan notis kerana kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(a) selepas didapati gagal memasang tanda larangan merokok.


(Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ghazali Chik bersama turun padang dalam ops ini di sini)

Nilai kompaun yang dikenakan ialah sebanyak RM1,750.00.

Antara alasan oleh orang awam yang dikompaun ialah tidak mengetahui larangan merokok di kedai makan; beranggapan larangan merokok sudah tidak dikuatkuasakan dan kelonggaran kawasan larangan merokok berikutan peralihan ke fasa endemik.

Beliau memaklumkannya dalam satu kenyataan selepas mengetuai Ops Lebaran Bebas Asap Rokok di Persiaran Makanan Bintong.

Sepanjang Januari hingga April lalu, sebanyak 24 operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 telah dilaksanakan dengan 362 premis diperiksa dan 82 notis 32B dikeluarkan dengan melibatkan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM17,500.00.

Media Baharu