ITU PP-26: Malaysia cadang liputan internet ambil kira kawasan aktiviti ekonomi

Foto Bernama

DOHA, 7 November -Malaysia berhasrat membawa cadangan supaya pengukuran liputan Internet tidak lagi hanya tertumpu kepada kawasan berpenduduk (COPA), sebaliknya turut mengambil kira kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi ke peringkat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Aduan orang ramai dan Ahli Parlimen mengenai masalah kesalinghubungan di lokasi tanpa penempatan tetapi laluan perhubungan atau pusat ekonomi.
  • Kawasan wajar diberi perhatian termasuk jalan raya utama, jajaran kereta api, pelabuhan, pesisir nelayan, serta destinasi pelancongan dan rekreasi.
  • Taman Negara dan pulau-pulau di Sabah contoh kawasan tanpa penduduk tetap tetapi menyokong aktiviti ekonomi perlu diberi pertimbangan liputan.
  • Malaysia hadir ke ITU PP-26 untuk mempertahankan kerusi Majlis ITU dan memastikan suara negara dalam hala tuju pembangunan telekomunikasi dan ICT.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu sedang diteliti susulan aduan orang ramai dan Ahli Parlimen mengenai masalah kesalinghubungan Internet di lokasi yang tidak mempunyai penempatan penduduk tetapi menjadi laluan perhubungan utama atau pusat kegiatan ekonomi.

Beliau berkata pendekatan sedia ada yang berasaskan liputan kawasan berpenduduk wajar dipertimbangkan semula dengan mengambil kira konsep Coverage of Economic Areas bagi memastikan keperluan kesalinghubungan di kawasan ekonomi turut diberikan perhatian.

“Kita nak cadangkan di peringkat ITU, apakah wajar boleh kita pertimbangkan semula standard daripada COPA kepada Coverage of Economic Areas. Kita nak lihat bukan berdasarkan tempat itu ada orang duduk situ ataupun tak, tapi ada tak ekonomi dijalankan di tempat itu,” katanya dalam temu bual menjelang Persidangan Plenipotentiary ITU 2026 (PP-26) di sini hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata antara kawasan wajar diberikan perhatian termasuk laluan jalan raya utama, jajaran kereta api, pelabuhan, kawasan pesisir pantai yang digunakan nelayan serta destinasi pelancongan dan rekreasi.

Beliau berkata kawasan berkenaan mungkin tidak mempunyai penduduk tetap, namun masih memerlukan akses Internet yang baik bagi menyokong aktiviti ekonomi dan pergerakan pengguna.

“Ramai mengadu tentang Internet atau talian mereka di laluan-laluan utama, jalan-jalan raya dan tempat-tempat yang sebenarnya tak ada penduduk tetapi menghubungkan antara dua tempat ataupun menjadi tempat adanya aktiviti ekonomi,” katanya.

Menurut Datuk Seri Fahmi, kawasan rekreasi seperti Taman Negara dan pulau-pulau di Sabah juga antara contoh lokasi perlu diberikan pertimbangan dalam perancangan liputan Internet kerana mempunyai aktiviti ekonomi meskipun tidak semestinya menjadi kawasan penempatan penduduk.

Beliau berkata cadangan berkenaan berpotensi memperluas pendekatan dalam menilai keperluan kesalinghubungan digital, khususnya bagi kawasan yang memainkan peranan penting kepada kegiatan ekonomi.

“Kita nampak banyak keperluan untuk kita angkat idea seperti ini yang setakat ini belum dibincangkan. Jadi, mungkin Malaysia antara yang pertama untuk bawa perkara ini ke peringkat ITU,” katanya.

Datuk Seri Fahmi berada di Doha dari 6 hingga 11 Nov ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 dengan misi mempertahankan kerusi negara sebagai ahli Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun itu turut bertujuan memastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili dalam perbincangan mengenai hala tuju pembangunan telekomunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di peringkat global.

Penyertaan semula Malaysia dalam pemilihan kali ini mencerminkan hasrat negara untuk terus terlibat dalam perbincangan strategik antarabangsa dan bukan sekadar mengikuti perkembangan teknologi global, sebaliknya turut membantu mencorakkan hala tujunya.

Kedudukan Malaysia dalam majlis itu turut memberikan peluang kepada negara untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan dalam menangani cabaran kesalinghubungan khususnya pembangunan infrastruktur telekomunikasi.

Selain memperkukuh hubungan diplomatik, keanggotaan itu juga dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa serta memperkukuh peranan negara dalam kerjasama digital khususnya di rantau Asia-Pasifik.

ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk pemiawaian, pengagihan spektrum radio, penyelarasan sambungan telefon dan satelit global serta berperanan merapatkan jurang digital di seluruh dunia. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.