fb fb fb fb fb

Isu rumah ibadat dalam gua: Jawatankuasa khas libatkan parti politik

 



IPOH, 16 Januari-Penubuhan jawatankuasa khas bagi menentukan status rumah ibadat di Perak yang terletak dalam kawasan gua akan turut membabitkan wakil daripada
parti politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa itu dikendalikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dengan turut melibatkan pengurusan rumah ibadat.

"Jawatankuasa ini akan ada wakil daripada kerajaan dan pembangkang. Saya nak mengelakkan daripada ia dipolitikkan. Ini bukan isu politik jadi kita panggil MCA, MIC, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)".

"Kita libatkan juga jabatan teknikal, panggil pengusaha rumah ibadat, kita duduk bincang kerana kita perlu mencari penyelesaian segera, kerana isu keselamatan adalah keutamaan saya," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sri Klebang Tambahan 2, sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini pada Ahad.

Saarani berkata, selepas semua nama itu diterima, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu tersebut.

Katanya, semua tindakan terhadap isu tersebut akan diambil berasaskan kepada keputusan bersama jawatankuasa berkenaan.

"Perkara ini sekarang di bawah tindakan PTG, saya sudah menghubungi minggu lalu, jadi kita tunggulah.

 "Apabila nama itu dapat, sudah tentu kita akan menyediakan jawatankuasa daripada pihak kerajaan negeri untuk duduk bersama dengan mereka bagi melihat bagaimana kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Pada 12 Januari lalu, Saarani memaklumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti isu rumah ibadat yang dibangunkan di dalam kawasan
gua batu kapur sekitar daerah Kinta.
 
Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi menentukan status kesemua rumah ibadat di Perak yang terletak di kawasan gua di atas tanah kerajaan sama ada melalui kaedah perizaban, Lesen Pendudukan Sementara atau pajakan tanah rizab selain memperincikan penetapan syarat perlu dipatuhi berdasarkan status kedudukan.

Saarani dilaporkan berkata, pencerobohan dan kegiatan pembinaan struktur tidak terkawal boleh mengundang ancaman keselamatan termasuk risiko runtuhan memandangkan gua batu kapur sensitif kepada perubahan cuaca.

Beliau berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Media Baharu