FOTO FACEBOOK NOH OMAR
SHAH ALAM, 16 Januari - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meluluskan sebanyak 3,986 permohonan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) bernilai RM33 juta menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata daripada permohonan tersebut, kira-kira 95 peratus daripadanya mengambil masa dalam tempoh seminggu untuk diluluskan manakala selebihnya selama lapan hingga 14 hari susulan kekurangan maklumat.
Menurut Noh, setakat ini kementerian telah menerima 23, 277 permohonan SPIM dengan nilai pinjaman RM180 juta. Ia termasuk 3, 986 permohonan yang telah diluluskan.
“Oleh itu, kita terpaksa tangguhkan dahulu SPIM ini. Kita nak selesaikan dahulu permohonan yang belum diluluskan. Daripada peruntukan yang diagihkan, TEKUN akan cuba memberikan kelulusan secepat mungkin.
“Baki daripada RM200 juta ini kita simpan untuk berikan keutamaan khusus kepada usahawan (TEKUN) yang terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media program jelajah mesra Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke premis usahawan TEKUN di sekitar Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, Noh berkata, TEKUN telah meluluskan 232 permohonan bernilai kira-kira RM2 juta dengan 114 permohonan yang melibatkan peruntukan RM1 juta di Selangor bagi pinjaman banjir.
Tambahnya, selain pemberian pinjaman, bantuan secara sekali beri (one off) juga sedang dikaji supaya usahawan yang terjejas banjir turut dapat manfaat.