KUALA LUMPUR, 16 Januari- Dua unit kediaman di tingkat empat Blok 8 Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Sri Rampai di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.06 petang, menggerakkan 44 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Keramat, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah ke lokasi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Daniel Ahmad Kamal, berkata setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 4.15 petang, api kebakaran sedang marak di dua unit kediaman terbabit.
"Kebakaran membabitkan kediaman berkeluasan 12 x 12 meter persegi setiap satu dengan unit kediaman pertama musnah seratus peratus, manakala sebuah lagi musnah 60 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini dan pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata, seorang lelaki lelaki berusia 38 tahun ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.
"Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah.
"Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya.