KUALA LUMPUR, 16 Januari - Anggota bomba dan penyelamat bertindak cekap, berjaya menghalang seorang pemuda yang dipercayai cuba terjun dari Sky Deck, Menara Kuala Lumpur di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.11 petang, bertindak menghantar jentera bersama 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Omar Che Ku, berkata ketika tiba di lokasi, anggota penyelamat mendapati mangsa yang berusia 21 tahun sedang berdiri di hujung bangunan Sky Deck dipercayai ingin terjun.
"Selepas hampir 20 minit memujuk dan menenangkan mangsa, lelaki itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertindak pantas menangkap belakang mangsa ketika dia sedang leka," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Omar berkata, mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.