fb fb fb fb fb

Isu projek sakit fasiliti kesihatan dibincang minggu depan- Lukanisman

Datuk Lukanisman Awang Sauni (paling kanan) ketika merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Sunsuron, di Tambunan, hari ini

TAMBUNAN, 18 Jun- Satu mesyuarat khas akan diadakan minggu hadapan bagi membincangkan isu projek sakit atau terbengkalai melibatkan fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata mesyuarat tersebut akan menghimpunkan semua EXCO Kesihatan negeri bersama Menteri Kesihatan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Pada minggu hadapan, kesemua EXCO Kesihatan negeri seluruh Malaysia akan bermesyuarat bersama dengan Menteri Kesihatan, dan kita akan mengangkat beberapa isu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Sunsuron, di Tambunan, hari ini.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada status semasa projek yang terbengkalai atau mengalami kelewatan, termasuk mengenal pasti punca dan kekangan teknikal, selain merangka langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE