fb fb fb fb fb

Pelajar IPT agama Perlu kuasai sains dan teknologi- Dr. Zulkifli

Dr. Zulkifli Hasan ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan

NILAI, 18 Jun- Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berteraskan agama Islam digesa menguasai bidang sains dan teknologi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan kelangsungan relevansi mereka dalam pembangunan negara masa hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berkata penguasaan dalam bidang berkenaan penting agar para graduan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara, khususnya dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.

“Sekarang ini, negara kita sudah pun mempunyai beberapa pelan tenaga, pelan AI dan pelan ekonomi digital. Maka, universiti-universiti Islam perlu seiring, selain mendalami ilmu agama, mereka juga perlu mempersiapkan diri dengan dunia teknologi serta kemahiran dan kemampuan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Berdasarkan rekod, kadar kebolehpasaran graduan USIM bagi tahun 2024 mencecah 97.6 peratus, sekali gus meletakkan universiti itu dalam kalangan tertinggi di negara ini.

Malah, berdasarkan Talentbank’s National Graduate Employability Index, USIM turut dinamakan sebagai antara institusi pilihan utama majikan bagi tahun 2025.

Majlis sambutan ulang tahun itu diserikan dengan keberangkatan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, selaku Tuanku Canselor USIM.

Turut hadir, Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, serta barisan tokoh akademik, pentadbir, alumni dan warga universiti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE