fb fb fb fb fb

Malaysia terus cemerlang, jadi rujukan pendidikan tinggi ASEAN

Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (duduk, tengah) menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), hari ini

LANGKAWI, 18 Jun- Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai rujukan utama dalam sektor pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, menerusi pencapaian cemerlang institusi pengajian tinggi negara yang meraih pengiktirafan global.

Pengiktirafan bertaraf antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia turut meningkatkan keyakinan negara-negara ASEAN terhadap keupayaan sektor pendidikan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, tujuh daripada sepuluh universiti terbaik di rantau ASEAN kini berada di Malaysia, manakala dua di Singapura dan satu di Thailand.

Katanya, pengiktirafan oleh anggota ASEAN terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi negara jelas membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat.

“Pengiktirafan oleh anggota-anggota ASEAN terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia telah pun mencapai penarafan antarabangsa.
Jadi, itulah sebabnya rakan-rakan kita daripada negara-negara ASEAN, dalam perbincangan mereka dengan saya tadi menyatakan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam bidang pendidikan tinggi untuk negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), hari ini.

Menurut beliau, buat julung kalinya persidangan itu menghimpunkan semua Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN sebagai platform penting untuk merangka halatuju Agenda Pendidikan ASEAN 2045.

Dalam pada itu, satu platform digital baharu, GlobalASEAN.org, turut dibangunkan sebagai medium kerjasama strategik dalam merealisasikan agenda pendidikan tinggi serantau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE