KUALA LUMPUR, 13 November -KL Seni & STEM Festival 2025 (KLSSF 2025) bakal menyemarakkan minat masyarakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui lensa kreativiti menerusi aktiviti yang interaktif.
Petrosains dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu dijangka mengubah landskap seni, budaya dan sains ke tahap yang lebih tinggi dan menggalakkan penglibatan komuniti dan industri pelancongan.
"Festival ini bertepatan dengan waktunya untuk Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) mengembangkan horizon melalui kolaborasi bersama Petrosains dalam sebuah festival yang meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama Malaysia untuk seni, budaya dan inovasi.
"Ia diharapkan dapat menarik minat rakyat Malaysia secara amnya dan pelancong asing menerusi aktiviti dinamik yang sesuai untuk seisi keluarga, dan seterusnya menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. " menurut kenyataan itu.
KLSSF 2025 sebuah ekstravaganza keraian budaya, sains dan muzik yang dibawakan secara percuma kepada orang ramai dari 21 hingga 23 November ini, di Plaza 20008, KLCC Park.
Festival itu merupakan kolaborasi sulung kedua-dua DFP dan Petrosains dengan tema ‘Where Arts, Heritage and Science Unite’.