BAYAN LEPAS, 18 Jun- Tahap kesiapsiagaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) berada dalam keadaan terkawal serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan insiden kecemasan.
Ia dibuktikan menerusi Latihan Ex Harimau Kumbang yang dilaksanakan hari ini, melibatkan simulasi kebakaran pesawat di kawasan landasan utama lapangan terbang.
Latihan itu merupakan kolaborasi pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Airport Fire and Rescue Service (AFRS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Institut Kejururawatan serta petugas perubatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penguasa Polis (SUPT) Nermaljit Singh Bakhtawar Singh berkata, latihan itu bertujuan menguji keberkesanan koordinasi antara agensi keselamatan dalam menghadapi insiden kecemasan sebenar.
“Latihan amali ini diadakan bagi memastikan koordinasi yang efektif, serta meningkatkan kesiapsiagaan pihak lapangan terbang dalam menghadapi senario seperti yang berlaku di luar negara kebelakangan ini.
Secara keseluruhan, semua agensi terlibat memberikan kerjasama yang baik dan mengambil inisiatif memperkukuh corak latihan serta kemahiran masing-masing dalam menjayakan simulasi pagi ini,” katanya.
Sepanjang tempoh latihan dijalankan, semua pergerakan pesawat mendarat dan berlepas dari lapangan terbang ditangguhkan sementara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran simulasi.
Pihak pengurusan memaklumkan latihan seumpama itu akan diteruskan secara berkala sebagai usaha berterusan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan dalam memberikan respons pantas dan berkesan terhadap sebarang ancaman atau kecemasan di lapangan terbang.