fb fb fb fb fb

Polis siasat dakwaan letupan dan gegaran di sekitar Ipoh

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad / BERNAMA

IPOH, 18 Jun- Polis Perak sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan berkaitan bunyi letupan dan gegaran di beberapa kawasan sekitar Ipoh, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa petugas telah digerakkan ke lokasi–lokasi terlibat bagi menjalankan pemantauan dan mendapatkan maklumat awal daripada orang awam.

"Hasil semakan awal bersama Briged utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta mendapati tiada sebarang latihan melibatkan letupan dijalankan pada hari ini," katanya.

Sementara itu, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) turut mengesahkan tiada sebarang letupan kuari dijalankan sebelum pukul 12 tengah hari selain tiada sebarang aktiviti seismik direkodkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di sekitar Ipoh.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang laporan kecederaan atau kerosakan harta benda yang diterima dan orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pusat kawalan daerah (DDC) Ipoh di talian 05-2542222 atau tampil ke mana- mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE