PUTRAJAYA, 18 Jun- Proses membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan pada Jumaat ini, susulan situasi keselamatan yang semakin membimbangkan di negara berkenaan.
Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menurut beliau, antara persiapan yang sedang giat dijalankan ketika ini ialah penyediaan visa perjalanan untuk urusan keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran.
“Menteri Luar memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar sama ada berkhidmat dengan Malawakil, pelajar, atau pelancong tidak terlalu besar.
“Insya-Allah mereka akan keluar dari Iran dalam masa terdekat, dijangka pada 20 Jun. Ada beberapa persiapan yang perlu dilakukan, tetapi oleh kerana ia melibatkan aspek keselamatan, saya tidak dapat berkongsi secara terperinci,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) semalam menyeru semua rakyat Malaysia di Iran supaya meninggalkan negara itu dengan kadar segera, berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu dan berisiko tinggi.
Ketegangan antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lalu, selepas serangan udara tidak berprovokasi dilancarkan oleh rejim Zionis ke atas wilayah Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.