fb fb fb fb fb

MITI siasat dakwaan syarikat China latih model AI di Malaysia

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menyemak kesahihan laporan media yang mendakwa syarikat dari China menggunakan pelayan berasaskan cip AI Nvidia untuk melatih model bahasa berskala besar (LLM) di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI memaklumkan pihaknya kini bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap undang-undang atau peraturan domestik yang berkuat kuasa.

“Perlu dijelaskan bahawa pelayan yang menggunakan cip AI Nvidia tidak diklasifikasikan sebagai barangan terkawal di bawah Akta Perdagangan Strategik Malaysia 2010 (STA 2010),” kata kenyataan itu.

Namun, Malaysia menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan dalam usaha memantau perdagangan barangan sensitif yang tertakluk kepada kawalan eksport negara masing-masing.

MITI menambah, semua pusat data dan syarikat yang beroperasi di Malaysia bebas membuat keputusan komersial selagi mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan.

Pemantauan dan pembangunan industri pusat data di negara ini turut dikendalikan secara bersama oleh MITI dan Kementerian Digital menerusi Pasukan Petugas Pusat Data.

“Malaysia berpendirian tegas dan mengamalkan toleransi sifar terhadap sebarang usaha untuk memintas kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram,” tegas MITI.

Dalam masa sama, kementerian itu turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited terhadap pematuhan peraturan perdagangan antarabangsa dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana entiti, termasuk dalam industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), yang didapati melanggar peraturan domestik mahupun antarabangsa.

Meskipun Malaysia mengekalkan pendirian neutral terhadap sekatan unilateral, syarikat-syarikat berpangkalan di Malaysia turut dinasihatkan untuk mengambil kira kawalan eksport negara lain dalam urusan perniagaan antarabangsa mereka bagi mengelakkan sebarang sekatan yang boleh menjejaskan operasi mereka.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE