KUALA LUMPUR, 13 November -Kerajaan Persekutuan berpandangan terdapat kekhilafan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membuat rayuan namun hanya menyentuh alasan penghakiman mahkamah dan bukanya mengenai 40 peratus hasil kepada Sabah.
"Alasan penghakiman ini pada faham kita banyak yang terlanjur dan bukan dalam bidang perundangan umpamanya alasan penghakiman kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional malah mengaitkan kesilapan besar yang dibuat kerajaan sejak 1974.
"Bermakna Kerajaan Persekutuan bawah Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir sehingga sekarang. Kerajaan negeri bawah Tun Mustapha, Tun Fuad Stephen sehingga sekarang dan ahli-ahli parlimen kerajaan dari 1974 sehingga sekarang semuanya diputuskan sebagai terlanjur, illegal, irrational, procedure improper dan abaikan tanggungjawab kepada negeri sabah," katanya di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, rayuan alasan penghakiman itu perlu dilakukan bagi memperbetulkan pandangan yang tidak tepat terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak tahun 1974 sehingga kini.
Selain itu, Datuk Seri Anwar menggesa supaya semua pihak tidak menjadikan isu 40 peratus hasil kepada Sabah sebagai satu polemik politik. Sebaliknya memberi fokus kepada alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan mengabaikan peruntukan kepada Kerajaan Negeri Sabah. Tegas beliau, Sabah menjadi negeri yang tertinggi menerima peruntukan tahunan iaitu sebanyak RM17 bilion berbanding negeri-negeri lain.
"Pandangan kita abaikan itu tidak tepat. Ini kerana sabah mendapat peruntukan tertinggi RM17 bilion. Umpama perjanjian MA63 tetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti jadi milik sabah. Jadi kita dah serahkan pada Januari 2024.
"Tetapi walau jadi milik Sabah, kita masih sediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah. Begitu juga RM706 juta projek talian penghantaran southern link, memasang Solar Hybrid MADANI untuk kampung Malaysia, kita mulakan dengan kampung di Sabah. Bekalan air bersih RM1 billion, projek sambungan dasar laut MADANI, kos RM2 billion dan Lebuhraya Pan Borneo," katanya dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat.