fb fb fb fb fb

Isu pertelagahan hakmilik tanah, siasatan masih diteruskan

ACP Nor Salawati (TENGAH) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kota Setar / FOTO RTM

ALOR SETAR, 1 November- Polis menafikan dakwaan yang dibuat oleh individu tertentu kononnya pihaknya tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat berhubung isu pertikaian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ke atas sebidang tanah di Mukim Kuala Kedah.
 
Malah tiada sebarang unsur gangsterisme dalam isu tersebut sebagaimana yang didakwa oleh individu-individu terbabit di dalam video yang tular di media sosial.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Nor Salawati Saad berkata pihaknya telah meneliti semula kandungan video yang dimuatnaik di akaun Tik Tok “Abu Ismail” yang dilihat cuba menarik perhatian umum bagi meraih simpati berkait isu pertikaian tanah tersebut.
 
Berdasarkan siasatan, pertikaian antara individu terbabit bersama seorang lagi individu lain tercetus sejak tahun 2013 dan telah dibawa ke peringkat mahkamah.
 
Rentetan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak berkait isu berkenaan.
 
Tiga kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan; Seksyen 437 Kanun Keseksaan; dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
 
Dua daripada siasatan telah selesai dan satu lagi siasatan masih diteruskan memandangkan beberapa dokumen yang didakwa palsu, memerlukan pengesahan daripada pihak-pihak berkaitan.
 
"Laporan polis yang dibuat sebanyak 75 laporan, kita telah melayani bukan kita pejam mata walaupun pertikaian ini melibatkan tuntutan sivil dan sebagainya.

"Jadi pihak polis telah menasihati kedua-dua belah pihak yang mana jika berlaku perlanggaran mana-mana peruntukkan undang-undang daripada laporan polis yang telah dibuat, pihak polis IPD Kota Setar akan melaksanakan siasatan," kata ACP Siti Nor Salawati Saad.
 
Bercakap kepada pemberita di Bilik Sidang Media Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati meminta kerjasama orang ramai untuk tidak memainkan sentimen yang menyentuh sensitiviti masyarakat yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketenteraman awam.
 
Baru-baru ini, tular kenyataan berbaur ketidakpuasan hati seorang lelaki dikenali sebagai Abu Ismail Abu Yaziz dan anak perempuannya terhadap pihak polis khususnya Polis Daerah Kota Setar yang dikatakan seolah-olah tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE