fb fb fb fb fb

Isu penyuraian trafik di pekan Tapah akan ditambah baik - KKR

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (empat, kanan) ketika melakukan lawatan kerja untuk meninjau Penyuraian Trafik Sekitar Pekan Tapah hari ini/BERNAMA

TAPAH, 19 Oktober- Sebanyak RM2.5 juta diperlukan bagi menyelesaikan masalah sistem penyuraian trafik di pekan Tapah, untuk tempoh jangka masa pendek.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menambah baik laluan tersebut agar lebih bersistematik.

Peruntukan dijangka diperoleh daripada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau lebihan projek lain.

"Dalam jangka masa pendek ialah kelulusan RM2.5 juta setelah dipersetujui oleh semua pihak terhadap kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan."

Ia termasuk ingin menggunakan trafik pintar (smart traffic), mematikan lampu isyarat sama ada membuat pembaikan mengubah segala bongkah-bongkah konkrit dan bongkah-bongkah air hitam putih yang ada itu, dengan keadaan lebih cantik," kata Datuk Seri Ahmad kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media selepas mendengar taklimat dan meninjau sistem penyuraian trafik yang dilaksanakan di pekan Tapah.

Terdahulu, sistem penyuraian baharu aliran trafik satu hala di pekan Tapah dilaksana bagi mengatasi isu kesesakan yang berlaku sekian lama di kawasan itu, terutama pada hujung minggu dan musim perayaan. 

Usaha itu bagaimanapun mendapat rungutan orang ramai khususnya peniaga apabila mengalami kerugian susulan pelaksanaan sistem tersebut selain risiko keselamatan.

Sementara itu, projek lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak akan dilaksana mengikut perancangan.

Jaminan itu diberikan Datuk Seri Ahmad, susulan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

"KSU baharu kami antara tugasannya menyelesaikan WISE. Dalam mesyuarat-mesyuarat bersama kami, beliau menyatakan WISE selesai, sudah lulus tetapi belum dibina.

"Kita tunggu pengumuman. Apa pun memang disebut dalam Belanjawan 2025 semalam," tambah Datuk Seri Ahmad.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan WISE antara lima projek berkepentingan rakyat yang diberi tumpuan oleh kerajaan.

Ia dilaksanakan menggunakan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM