fb fb fb fb fb

Isu penukaran agama secara unilateral, elak beri ulasan jejas perpaduan negara

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Haji Mokhtar

PUTRAJAYA, 15 Mei - Rakyat Malaysia disaran agar bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian  negara, susulan isu penukaran agama secara unilateral melibatkan tiga orang anak kepada Loh Siew Hong.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Haji Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, beliau percaya dan menghormati dengan keputusan yang telah dibuat.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam," katanya menerusi kenyataan itu.

Bagaimanapun katanya, jabatannya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengusulkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam supaya memperhalusi perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengislaman, agar dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran rayuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman tiga anak Loh Siew Hong yang berumur bawah 18 tahun.

Susulan penolakan permohonan kebenaran itu, tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 16 tahun dan anak lelaki berusia 13 tahun kekal beragama Hindu.

TETITIA YUSOFF