fb fb fb fb fb

Penerbangan Malaysia ke Kyrgyz buka peluang perdagangan, ekonomi, pelancongan

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

BISHKEK, 15 Mei- Kewujudan penerbangan terus antara Malaysia dan Republik Kyrgyz berpotensi memperkukuh pembangunan sektor perdagangan, hubungan ekonomi serta pelancongan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak menyokong dan menggalakkan rundingan antara syarikat penerbangan dengan tujuan membuka laluan udara terus baharu yang dapat mengeratkan hubungan antara rakyat dan komuniti perniagaan.

"Terima kasih banyak kerana memberi kami kebebasan dan hak yang ke-5. Oleh itu kami akan bercakap dengan syarikat penerbangan untuk memastikan dapat mengatur sekurang-kurangnya sekali seminggu atau dua kali seminggu. 

"Untuk permulaan ia mungkin mempunyai kekangan untuk memujuk syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan ini. Daripada pengalaman kami, banyak negara akan mula melihat keindahan dari segi pelancongan, meningkatkan pertukaran perdagangan antara pemimpin, pegawai dan pelajar," kata Anwar dalam sidang media di sini.

Beliau turut menjelaskan bidang pendidikan antara kedua-dua negara turut diperkasa menerusi pertukaran ilmu, pandangan dan penyelidikan dalam kalangan pelajar dan pakar yang berkaitan.

Sementara itu, berkenaan kerjasama dalam pembangunan industri halal antara kedua-dua negara, usaha itu akan terus dipergiat.

Menurut Anwar, kedua-dua negara mengiktiraf kepentingan industri berkenaan yang dilihat semakin berkembang dalam pasaran global, sekali gus membuka peluang besar untuk membangunkan ekonomi negara.

"Kini bidang yang kita bincangkan termasuk industri halal yang mempunyai potensi yang sangat besar, sebab itu kita kumpulkan Menteri Hal Ehwal Agama Islam dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam.

"Ini sangat penting kerana jabatan yang berurusan adalah mengeluarkan pensijilan halal dan itu akan membantu untuk memudahkan perdagangan dan eksport. Kita sebut juga Tabung Haji dalam hal ini untuk jemaah haji ke Mekah bagi memudahkan pengurusannya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI