fb fb fb fb fb

Isu penjualan Kidzania Singapore oleh Khazanah akan dibincang - PM

(Anwar Ibrahim (biru muda) sebelum meninggalkan Masjid Raja Haji
Fisabilillah, Cyberjaya)

CYBERJAYA, 16 Jun- Satu perbincangan akan diadakan bersama Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) susulan penjualan Kidzania Singapore pada harga tidak munasabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengadakan pertemuan bersama Khazanah bagi membincangkan lebih lanjut isu berkenaan.

“Yang (perkara) itu saya akan bermesyuarat dengan mereka (Khazanah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Khazanah menjual Kidzania Singapore pada harga tidak masuk akal kepada pengendali taman tema, Sim Leisure Group iaitu sejumlah SG$110,000 (RM379,398).

Terdahulu, Anwar menyertai lebih 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini.

Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru muda mendengar khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban Simbol Ketaatan Kepada Allah’ yang disampaikan Imam 1, Masjid Raja Haji Sabilillah, Ustaz Muhammad Ali Mohd Yunus.

Sebelum itu, Anwar singgah di makan tengah hari di Medan Selera Sports Arena di sini dan beramah mesra dengan orang ramai serta peniaga di medan berkenaan.

(Anwar Ibrahim (biru muda) beramah mesra dengan orang ramai
di Medan Selera Sports Arena, Cyberjaya)

Media Baharu