fb fb fb fb fb

Isu pembinaan WCE libat 19 penduduk Kg. Jawa dimuktamad minggu depan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/ BERNAMA

KUALA SELANGOR, 1 November - Keputusan berhubung isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang membabitkan 19 penduduk di Kampung Jawa, Klang, Selangor dijangka dimuktamadkan minggu hadapan, selepas mesyuarat akhir antara pihak terlibat diadakan Isnin ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua perkembangan telah diteliti dan kerajaan negeri komited mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan baki projek sepanjang 150 meter dapat disiapkan segera.

Katanya, beberapa kesilapan dan kekeliruan teknikal telah dikenal pasti dan sedang diselesaikan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, yang mengetuai urusan tersebut.

"3 hari bulan ini kita akan ada mesyuarat akhir. Kita sudah meneliti semua perkembangan. Insya-Allah kita akan dapat kata putus penyelesaian sebab ada kesilapan, ada pemahaman teknikal yang kurang difahami dan sebagainya. Itu Datuk Borhan sudah uruskan.

"Kita pun sudah maklum kepada WCE dan turut bermesyuarat dengan pihak kementerian. Harap-harap dapat penyelesaian menyeluruh untuk mereka. Mungkin penduduk ada yang salah faham pada peringkat awal, tapi perkara itu telah diluruskan. Kerajaan negeri komited memastikan baki 150 meter disiapkan bagi melengkapkan projek WCE", katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Isu pembinaan WCE di Kampung Jawa, Klang berlarutan apabila 19 penduduk dilaporkan masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan penduduk telah menerima pampasan daripada kerajaan negeri serta syarikat konsesi WCE.

ROSLINA BINTI DIN