KUALA LUMPUR, 1 November - Tahap kesihatan mental dalam kalangan guru di negara ini masih terkawal, namun sebahagian kecil menunjukkan tanda keletihan melampau akibat tekanan kerja berlebihan, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Penolong Setiausaha Agung (R&D) NUTP, Dr Muhammad Ridzuan Idris berkata, hasil kajian kesatuan itu mendapati isu kesihatan mental dalam kalangan guru belum berada di tahap kritikal tetapi memerlukan perhatian berterusan.
“Memang wujud isu kesihatan mental dalam kalangan guru, namun ia masih pada tahap terkawal dan boleh ditangani.
"Antara langkah intervensi yang dicadangkan termasuk sesi kaunseling serta penganjuran bengkel bimbingan bagi membantu guru keluar daripada situasi tekanan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Suara Guru Malaysia di Universiti Malaya, hari ini.
Sementara itu, Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, tekanan kerja guru kebanyakannya berpunca daripada tugasan bukan akademik, dan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kepada fungsi asalnya adalah langkah tepat.
“Selepas ini, SSDM akan kembali kepada fungsi asalnya. Guru di seluruh negara, khususnya guru kelas yang sebelum ini terbeban dengan keperluan merekod terlalu banyak amalan baik murid, akhirnya dapat kelegaan.
"Sistem itu sebenarnya tidak memberi impak besar kepada pembelajaran, dan keputusan ini amat melegakan kerana sudah lama diperjuangkan oleh NUTP,” katanya.
Aminuddin menegaskan keseimbangan antara tuntutan kerja dan kesihatan mental perlu dijadikan agenda utama KPM.
Katanya, ini bagi memastikan guru kekal bersemangat dan berdaya tahan menghadapi pelaksanaan kurikulum baharu pada 2026 dan 2027.
Dalam masa sama, NUTP menyambut baik penempatan lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 guru bimbingan dan kaunseling di seluruh negara, namun berpendapat nisbah seorang kaunselor bagi 500 murid masih tinggi dan wajar dikaji semula.