fb fb fb fb fb

Isu Palestin, pendirian Malaysia dihargai

WASHINGTON, 15 Mei- Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menyuarakan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, mendapat perhatian rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Omar Seyam, berkata, rakyat negara itu yakin bahawa sokongan yang diberikan Malaysia untuk sekian lamanya, akan diteruskan sehingga mereka bebas daripada kekejaman rejim zionis.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri kerana meletakkan isu Palestin sebagai salah satu keutamaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-Asean yang baru berakhir di Washington.

"Segala penghormatan dan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri kerana membangkitkan isu Palestin dalam pertemuannya dengan Presiden AS Joe Biden di Washington.

"Sokongan rasmi untuk perjuangan Palestin bukanlah sesuatu yang baharu. Malaysia dan kerajaannya sentiasa menyokong rakyat Palestin di semua peringkat politik dan sosial," katanya.


(Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Omar Seyam)

Aman Palestin ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin.

Pada sidang kemuncak khas Amerika Syarikat-Asean, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang menekankan Amerika perlu jujur dalam menyelesaikan isu Palestin.


(Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-Asean)

"Kita menegaskan bahawa Malaysia minta Amerika guna kuasa dia dan memastikan isu Palestin dapat diselesaikan dengan segera. Kalau Amerika begitu cepat bertindak apabila kes berlaku di Ukraine, kita nak tindakan cepat juga untuk menyelesaikan isu di Palestin, " kata Ismail Sabri dalam sidang media pada akhir lawatan rasmi empat hari ke Washington.

Beliau menyifatkan lawatannya sebagai berjaya dan mencapai objektif.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-Asean, Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan dengan pelabur serta kapten industri Amerika.

Media Baharu