(GAMBAR FAIL/ BERNAMA)
IPOH, 15 Mei- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima permohonan Dato’ Dr Afifi Al-Akiti untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan Negeri Perak berkuatkuasa hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Dewan Negara, Toh Amar Seri Diraja Dato’ Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Dato’ Dr Afifi sepanjang menyandang gelaran tersebut.
Menerusi satu warkah yang diutuskan, Dato’ Dr Afifi berkata beliau membuat permohonan tersebut selepas berlaku penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial sejak dua minggu lalu, bertujuan mencemarkan namanya.
Datuk Dr Afifi bagaimanapun tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan mengenainya.
Keputusan tersebut dilakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia rakyat kepada Sultannya.
Menurutnya, bahan-bahan yang ditularkan itu kelihatan mempersoal kesesuaian peranannya dengan institusi istana serta mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.
"Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.
"Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari," tulis Dr Afifi.
(GAMBAR FAIL/ BERNAMA)
Dr Afifi adalah Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, rakyat Malaysia dan anak Melayu pertama serta satu-satunya ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun.
Beliau turut dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bermula 2018, selain turut tersenarai dalam 'The World's 500 Most Influential Muslims', sejak 2010 atas jasa dan sumbangannya.
Baru-baru ini, tular klip video menampilkan visual dari sudut tepi kelibat seorang lelaki yang wajahnya dikatakan mempunyai iras Afifi sedang memakai topi sambil diapit dua wanita yang didakwa dalam sebuah kelab malam.