fb fb fb fb fb

Isu pajakan Pulau Pinang perlu dijelaskan berdasarkan fakta

(FOTO RTM)

ALOR SETAR, 18 Jun-Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berharap agar sejarah Kedah terutama berkaitan isu pajakan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.

Titah baginda lagi, hakikat bahawa Pulau Pinang hanyalah dipajak juga perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

"Perbincangan mengenai perkara tersebut, haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

"Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta dikaji secara ilmiah agardapat dijadikan rujukan kepada generasi akan datang", titah baginda sempena Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke 81 di Istana Anak Bukit, di sini.

Tambah baginda lagi , amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat di negeri ini cuba didiamkan khususnya berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah.

Selain itu, titah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, perbincangan mengenai sejarah negeri Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir-akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.

Baginda turut mengingatkan bahawa pembentukan negara Malaysia tidak menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri Kedah yang telah wujud sejak sekian lama dipadamkan.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin bertitah bahawa peristiwa lampau telah meletakkan negeri dalam keadaan yang sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah.

Perkara berkenaan harus dijadikan pedoman serta peringatan agar semua pihak lebih berhati-hati dalam bertindak dan berurusan.

"Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu.

Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan.

"Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang telah terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini," titah baginda.


(Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah)

Media Baharu