fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju tangguh bayaran pangsapuri Lembah Sireh

KOTA BHARU, 18 Jun- Kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran semula pinjaman kepada pembeli rumah pangsapuri kakitangan awam di Lembah Sireh, Kota Bharu.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan bayaran itu akan diberikan kepada pembeli yang terlibat sehingga mereka dapat menduduki rumah berkenaan.

Keputusan itu dibuat bagi membantu meringankan beban pembeli yang terpaksa menanggung pembayaran pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Pinjaman Sektor Awam (LPPSA).

"Saya dah buat keputusan setelah ada rayuan untuk pinjaman Projek Perumahan Penjawat Awam Lembah Sireh Kota Bharu ini dibuat di LPPSA. Jadi untuk kemudahan, rumah yang belum diduduki diberi pelepasan moratorium. Tidak perlu bayar, selagi rumah tersebut belum siap," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor, di sini.

Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin turut hadir dalam program itu.

Sebelum ini media melaporkan, lebih 120 pembeli menuntut pemaju menyiapkan segera pembinaan pangsapuri penjawat awam di Lembah Sireh yang terbengkalai ketika ini.
 
Projek tersebut mula dijual tujuh tahun lalu kepada kumpulan sasar dalam kalangan penjawat awam yang kebanyakannya menandatangani perjanjian itu pada 2017 dan 2018.
 
Sementara itu, Husam memaklumkan SPNB menyasarkan untuk menyiapkan sejumlah 4,250 unit RMR menjelang Disember tahun ini di seluruh negara.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu