fb fb fb fb fb

Isu ketirisan: MARA pandang serius dakwaan

(FOTO RTM)

JOHOR BHARU, 18 Jun-Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius laporan ketirisan urus tadbir institusi tersebut melalui surat layang yang tular di aplikasi Telegram, semalam.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata MARA akan memperhalusi pentadbirannya agar agensi itu sentiasa berada pada tahap terbaik dan tidak terbabit dalam pelbagai kes melibatkan ketirisan dan pembaziran.

"Sasaran kita adalah sifar kepada isu-isu melibatkan rasuah.

"Maknanya kita ingin pastikan agensi ini membawa amanah rakyat.

"Jadi MARA mesti bersih. Itu adalah perkara pertama yang saya lakukan ketika dilantik", katanya selepas mengadakan temu mesra di Karnival Institusi Pendidikan Mara (IPMA) & Program Peace of Mind 5.0 di Plaza Larkin, di sini hari ini.

Semalam, satu laporan ketirisan agensi berkenaan melalui surat layang yang tular di aplikasi telegram, memohon agar satu siasatan dilakukan oleh Pengerusi MARA berkaitan ketirisan urus tadbir terutamanya melibatkan sektor keusahawanan agensi itu.

Surat layang berkenaan turut menyatakan barisan pengurusan tertinggi MARA merupakan kumpulan pengurusan yang gagal dan tidak berani membuat sebarang keputusan berkaitan perjalanan dan pengoperasian agensi itu.


(Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)

Media Baharu