fb fb fb fb fb

Isu LRT Kelana Jaya: Jawatankuasa khas ditubuh buat siasatan menyeluruh

(Datuk Seri Ismail Sabri berucap ketika turun padang pada program ramah
mesra bersama penduduk Kampung Batu Papan/BERNAMA)

BERA, 13 November- Kementerian Pengangkutan diarah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat secara menyeluruh punca kerosakan berikutan gangguan perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merunsingkan kerana kejadian sama berlaku dua kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Beliau berharap ia tidak berulang lagi kerana menyusahkan orang ramai.

"Insya-Allah saya dah bagi arahan kepada menteri pengangkutan bahawa perkara yang sama tidak boleh berlaku pada masa akan datang dan kita akan siasat dari segi punca kerosakan. Kita akan siasat secara menyeluruh kenapa perkara ini berlaku semasa kempen dijalankan," kata Ismail Sabri kepada pemberita selepas beramah mesra bersama penduduk Kampung Batu Papan di sini.

Katanya, sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji bagi menilai sama ada LRT laluan Kelana Jaya bersedia beroperasi dengan selamat lebih awal daripada jangkaan,15 November ini.

Setakat ini, semua sistem keselamatan adalah stabil mengikut data ujian yang diperoleh dengan menggunakan 38 set tren di laluan Putra Heights ke Gombak sepanjang hari ini.

Sebelum ini media melaporkan LRT Laluan Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park ditutup kepada pengguna dan kerja baik pulih oleh pasukan teknikal Rapid Rail dengan bantuan daripada pasukan pengeluar sistem,Thales Group dari Kanada dan Singapura dijangka siap pada 15 November.

Gangguan teknikal di antara stesen KLCC dengan Kelana Jaya menyebabkan ramai pengguna LRT terkandas di stesen masing-masing.

(Kementerian Pengangkutan diarah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat secara
menyeluruh punca kerosakan berikutan gangguan perkhidmatan stesen laluan Kelana Jaya)

Media Baharu