fb fb fb fb fb

ISU LCS: Siasatan terhadap beberapa individu lengkap

(SPRM berkata kertas siasatan berkenaan projek LCS telah dikemukakan kepada
Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut/Fail BERNAMA)

PUTRAJAYA, 11 Ogos- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu-individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menurut kenyataan media SPRM, kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

"SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan itu," menurut kenyataan tersebut.

BERITA BERKAITAN
Mindef sambut baik keputusan Kabinet, pastikan isu LCS dapat diselesaikan - Hishamuddin
Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan isu LCS
Kapal tempur pesisir, LCS dijangka siap setahun lagi
Projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) tidak akan dihentikan- Hishammuddin

Semalam, Kabinet menggesa SPRM supaya menyegerakan siasatan berhubung isu LCS.

Jemaah Menteri turut meminta Peguam Negara membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memberi jaminan, siasatan dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit.

Menurut beliau, kabinet juga memutuskan bahawa Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiar kepada umum.

Selain itu, Jemaah Menteri mencadangkan agar Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019, dinyahklasifikasikan.

"Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

"Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasidi bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20April 2022.

"Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)", katanya menerusi kenyataan itu.

Khamis lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada sebuah pun kapal LCS telah disiapkan.

Kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai 6.083 bilion Ringgit, memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

(ISU LCS: Siasatan terhadap beberapa individu lengkap)

Media Baharu