KUALA LUMPUR, 3 Mei- Malaysia dan Jepun mengadakan perbincangan dua hala yang turut menyentuh berkenaan perdagangan, pertanian dan peranan Malaysia sebagai hab halal yang boleh dimanfaatkan negara itu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan juga memaklumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan.
Perkara itu termasuk pertukaran teknologi itu diharap dapat diperkemaskan melalui kerjasama dua hala sedia ada.
Pertemuan sulung dengan Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Mitsuo Takahashi itu berlangsung hampir sejam sempena kunjungan hormat Takahashi di pejabat Arthur di Putrajaya.
"Malaysia merupakan negara dengan majoriti Muslim yang pertama dipilih sebagai lokasi Platform Eksport Makanan Jepun.
"Langkah ini diharap dapat membuka peluang kepada lebih banyak syarikat Jepun untuk menembusi pasaran halal serta mendapatkan pengiktirafan halal," katanya dalam kenyataan itu.
Arthur juga menyatakan kesediaan kementerian bagi menyokong usaha berkenaan selain memohon sokongan serta bantuan Jepun untuk mempertingkatkan kualiti produk keluaran penternak tempatan melalui perkongsian kapasiti dan latihan.
Beliau turut memaklumkan perancangan Malaysia menganjurkan mesyuarat kali kedua Pegawai-pegawai Kanan bagi Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-Jepun (AJMAF) pada 7 Ogos depan dan Mesyuarat Khas Pegawai-pegawai Kanan kali ke-45 Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (SSOM-AMAF) pada 6 hingga 8 Ogos ini.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan perkembangan kerjasama ASEAN-Japan MIDORI Cooperation Plan yang telah dipersetujui pada Mesyuarat AJMAF pertama pada 2023.
Arthur mempelawa Jepun menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang bakal diadakan pada 11 hingga 22 September tahun ini.
Pada masa sama Jepun turut menjemput Malaysia untuk mengambil bahagian dalam International Horticultural Expo Yokohama yang dijangka berlangsung pada 19 Mac hingga 16 September 2027.