fb fb fb fb fb

Isu label kampit beras: Kerjasama KPDN-KPKM diteruskan

(Salahuddin ditemu bual selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama
Jaya Grocer dan Grab Malaysia)

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam membanteras isu penukaran label kampit beras yang dilapor dilakukan bagi memanipulasi harga di pasaran.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata walaupun perkara itu terletak bawah bidang kuasa KPKM menerusi Kawal Selia Padi dan Beras namun pihaknya akan bertindak apabila aduan diterima.

"Ada laporan yang mengatakan ada tukar kampit tapi setakat hari ini kita tidak dapat bukti lagi sebab itu kolaborasi antara KPDN dengan KPKM akan diteruskan," kata Salahuddin ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di sini.

“Dalam mesyuarat Kabinet semalam, kedua-dua kementerian ada berbincang mengenai perkara ini dan kami akan memantau dan buat sesuatu, termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar," tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai cadangannya sebelum ini agar pesakit kanser dibenarkan membeli susu formula khas di hospital dengan harga lebih murah daripada pasaran, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik cadangan tersebut.

"Semalam dalam mesyuarat kabinet, Menteri Kesihatan ada mengatakan bahawa hospital bersedia untuk membuka sekiranya ada pelanggan yang ingin membeli susu jenis itu, jadi perincian tentang jenis dan keberadaan itu sekiranya ada pemintaan kita akan bincang dengan pihak KKM," katanya.

(Datuk Seri Salahuddin berkata kerjasama KPDN-KPKM diteruskan dalam membanteras isu
penukaran label kampit beras yang dilapor dilakukan bagi memanipulasi harga di pasaran)

 



Media Baharu