fb fb fb fb fb

YDP Agong berkenan kurnia darjah kebesaran kepada 300 penerima

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 300 penerima sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 di Istana Negara.

Seramai lima orang penerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin antara 44 penerima Johan Setia Mahkota manakala Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am (PGA) KDN/KA Bukit Aman, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim menerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja.

Bagi Bintang Kesatria Mangku Negara diberikan kepada 57 penerima dan bintang Kesatria Setia Diraja dikurniakan kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Mohd Husni Yusop.

Personaliti RTM, Terrence Joseph Dass merupakan antara 60 penerima bintang Ahli Mangku Negara.

Dalam istiadat yang sama, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan Pingat Pangkuan Negara kepada 65 penerima dan 67 individu menerima pingat Bentara Setia Diraja.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu