fb fb fb fb fb

Isu kos sara hidup jadi keutamaan kerajaan perpaduan - PM

PUTRAJAYA, 25 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perbincangan lebih teliti dan tindakan segera melibatkan isu kos sara hidup akan dilakukan dalam masa terdekat.

Usaha untuk menangani isu tersebut ketika ini akan menjadi keutamaannya setelah diberi mandat menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Walaupun positif umpamanya dengan kekuatan ringgit sekarang dan juga soal bursa saham yang menunjukkan keyakinan kepada pentadbiran kerajaan sekarang, tetapi saya masih merasa keutamaan itu harus terhadap kos sara hidup iaitu harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat. Jadi saya mohon perbincangan lebih teliti dan tindakan segera untuk kurang tekakan ini. Saya akan adakan mesyuarat segera dengan agensi, jabatan berkenaan dalam masa terdekat,"katanya.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Anwar yakin kerajaan bawah kepimpinan beliau akan dapat mengurangkan beban yang dialami rakyat ketika ini.

Untuk itu, satu pertemuan bersama agensi serta jabatan berkaitan akan diadakan selewat-lewatnya isnin ini bagi memperhalusi isu berkaitan perkara tersebut.

"Keutamaan itu harus terhadap kos sara hidup harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat...jadi saya telah memohon supaya perbincangan lebih teliti dan tindakan segera untuk mengurangkan tekanan ini,"katanya kepada media pada hari pertamanya di Perdana Putra, Putrajaya.

Sementara itu, kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Ke-10 dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini pembentukannya masih dalam proses perbincangan.

"Saiznya akan diperkecilkan dan saya minta ahli-ahli kabinet baru untuk setuju untuk mengurangkan gaji mereka. Tapi ini dalam proses perbincangan, dan persiapan," katanya

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau akan merujuk parti-parti terlibat berhubung pembentukan kabinet baharu itu.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz kabinet kepada maksimum 25 menteri berbanding 31 menteri ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Media Baharu