(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 30 Jun - Masalah komunikasi antara pelancong asing dari China dan pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi penyebab Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing tampil bersuara.
Ini sekali gus menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan 'pencerobohan' di KLIA sehingga tular di media sosial.
Katanya, pelancong itu telah ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab beliau ditahan.
King Sing berkata, pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi mengagalkan pihak Imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pelancong itu.
"Inilah sebabnya saya membangkitkan tentang isu komunikasi ini sejak bulan Mac lagi menerusi inisiatif menyediakan penterjemah bagi pelancong-pelancong asing dari kawasan Timur Tengah, China dan India di pintu masuk negara.
"Ini bertujuan memudahkan urusan dan proses semasa ketibaan pelancong asing agar kecekapan pengurusan negara kita dapat dijamin dan dipuji," kata King Sing menerusi kenyataan.
Tambah King Sing, keberadaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada ketika itu adalah untuk melihat sendiri proses ketibaan pelancong asing ke Malaysia dan perkara itu adalah biasa bagi seorang menteri untuk turun padang dan melihat keadaan tersebut.
Katanya, beliau turut memiliki pas yang sah untuk memasuki ruang ketibaan di lapangan terbang itu.
Sebelum ini, gambar kekecohan seorang menteri tular di media sosial yang telah menceroboh masuk masuk ke ruang ketibaan antarabangsa tanpa memiliki pas keselamatan.
(Foto BERNAMA)
Artikel Berkaitan:
Imigresen mulakan siasatan dakwaan insiden kekecohan libat menteri
Kekecohan di KLIA, laporan rasmi belum diterima - Loke