PUTRAJAYA, 30 Jun - Model gaji progresif yang akan dibentangkan pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), bertujuan untuk meneliti kewajaran pelaksanaannya.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata ia juga bagi membuat ketetapan sama ada untuk mengkaji model gaji itu atau mencari alternatif lain bagi penambahbaikan sistem gaji sedia ada di Malaysia.
“Kerajaan masih belum memuktamadkan sama ada untuk menggunakan model gaji (progresif) berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Sivakumar, kerajaan juga sedar bahawa cadangan mengkaji model gaji progresif itu mempunyai kekangan dari segi pelaksanaannya.
Pada Rabu lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kertas dasar yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia, mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentang kepada MTEN pada Ogos depan.
Rafizi berkata dasar itu bertujuan memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih sekata serta inklusif dan mendorong ke arah penjanaan pendapatan lebih baik.
Dalam pada itu, penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja akan berkuat kuasa bermula esok.
Berdasarkan keputusan kerajaan sebelum ini, penguatkuasaan tersebut telah ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.
Sehubungan itu, pelaksanaannya akan membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.
Menerusi kenyataan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada 27 Disember tahun lalu, keputusan menangguhkan penguatkuasaan melibatkan gaji minimum RM1,500 kepada majikan bagi kategori tersebut selepas mengambil kira soal kesediaan majikan.
Selain itu, pihaknya turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan jangkaan cabaran ekonomi serta kewangan yang bakal dihadapi tahun ini.