fb fb fb fb fb

Isu kepadatan murid di SK Cyberjaya, beberapa cadangan telah dikemuka

SEPANG, 17 Mac- Beberapa cadangan dikemuka bagi mengatasi isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia termasuk penyuraian murid ke beberapa sekolah berhampiran sementara menanti bangunan di SK 2 Cyberjaya siap pada tahun 2028.

"Ada beberapa 'option'. Pertama penyuraian. ini telah dibincangkan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang. Sebab apa pun mesti selaras, sinergi.

"Jadi, daripada perbincangan itu penyuraian itu telah dibuat ke atas beberapa sekolah berhampiran.

"Kita tak dapat elak, ada sekolah-sekolah yang mungkin sedikit jauh. Tak dapat nak elak. Tetapi, bila siap mereka boleh balik ke SK 2 Cyberjaya dan meneruskan pendidikan di situ," katanya selepas Program Sesi Libat Urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran sempena Bulan Ramadan Bagi Tahun 2024 di Bazar Ramadan Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi di sini.

Beliau turut menyokong cadangan PPD Sepang untuk menyediakan bangunan kelas kabin, sementara menanti bangunan SK 2 Cyberjaya siap.

Tambahnya, perkara itu akan dirujuk semula kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM