PUTRAJAYA, 15 Disember - Isu kemiskinan bandar dan tegar serta peniaga kecil merupakan antara keutamaan dalam menggalas tanggungjawab di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata antara fokus beliau adalah membawa misi dan visi yang sebelum ini dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebab kita tahu jabatan sebelun ini dibawah Perdana Menteri tentunya hal-hal berkaitan dengan kemiskinan bandar, miskin tegar yang waluapun jumlah yang saya lihat tidak berapa ramai di wilayah tetapi bagi saya itu adalah satu perkara yang penting," katanya kepada media sebelum mengadakan taklimat bersama pegawai Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi, di sini.
Beliau memegang jawatan itu susulan rombakan Kabinet pada Selasa lepas.
Dr Zaliha berkata fokus lain adalah isu legasi melibatkan masalah perkampungan Kampung Baru, persediaan Wilayah Persekutuan dalam Tahun Melawat Malaysia pada 2026 serta sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun hadapan.
Daripada sudut ekonomi pula, katanya pembangunan di Labuan menjadi fokus memandangkan lawatan Anwar ke pulau bebas cukai itu pada awal Disember lalu menyatakan pulau berkenaan perlu dimajukan sebagai hab ekonomi dan pelancongan.
"Sebelum kita bergerak lebih maju, kemudiannya tentunya daripada sudut ekonomi dan ekonomi khususnya saya yakin juga daripada Perdana Menteri tempoh hari dalam lawatan beliau ke Labuan mengatakan bahawa Wilayah Persekutuan Labuan untuk dibangunkan sudut ekonomi dan hub pelancongan dan itu juga saya rasa perlu diberi keutamaan," katanya lagi.