fb fb fb fb fb

Isu kekurangan gula, bekalan dijangka selesai hujung Jun

SERI MANJUNG, 17 Jun- Isu kekurangan bekalan gula pasir kasar dan halus dijangka selesai penghujung bulan ini.

Jaminan diberi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sambil mengakui bekalan itu ketika ini masih berkurangan.

Sekiranya isu tersebut tidak selesai, kementerian berkemungkinan akan memanjangkan tempoh Ops Manis yang sepatutnya tamat pada 30 Jun.

"Saya boleh katakan kita sampai pada tahap 80 peratus, yang 20 peratus itu yang kita kena cukupkan...maknanya dari segi keperluan sebulan, negara memerlukan 42,000 tan metrik mesti ditunaikan oleh pihak pengeluar. Minimum 42,000 tan metrik bagi gula pasir kasar dan halus," katanya.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Beliau berkata demikian ketika melakukan sesi pemantauan dan lawatan ke beberapa premis dan kilang barangan kawalan sekitar Seri Manjung.

Sehingga kini, kementerian telah mengadakan lima sesi libat urus bersama pengilang bagi membincangkan isu kekurangan bekalan gula di negara ini.

Hasil pertemuan tersebut, pihak pengilang berjanji akan cuba mencukupkan bekalan di pasaran dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai minyak masak paket dan telur, beliau berkata bekalan itu mencukupi dan tiada masalah.

Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.

Perbincangan bersama KKM dalam masa terdekat

Mengenai dakwaan kenaikan harga susu formula untuk pesakit kanser, Salahuddin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.

"Saya akan cuba berbincang dengan Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) supaya rakyat boleh beli di hospital kerajaan, mungkin harga sedikit rendah kerana saya difahamkan KKM beli secara pukal, ini boleh bincang nanti kerana kalau beli di farmasi memang mahal," katanya.

Berkenaan isu kenaikan harga susu formula kanak-kanak pula, beliau meminta pengusaha menyediakan laporan trend harga kepada kementerian selama enam bulan.

Sekiranya berlaku peningkatan, beberapa insiatif akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan. 

Hasil pemantauan dijalankan setakat ini, mendapati harga ditawarkan masih berpatutan dan tidak berlaku kenaikan melampau.

Media Baharu