(Datuk Seri Anwar berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan
Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele di Kedah)
KUBANG PASU, 17 Jun- Sebanyak RM2.94 juta peruntukkan diberikan kepada 588 masjid kariah di 12 daerah seluruh negeri Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bertujuan pengimarahan masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha .
Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya menerusi peruntukan itu setiap masjid akan menerima sebanyak RM5,000.
"Ada permintaan daripada banyak masjid untuk kegiatan tambahan. Jadi ada 588 masjid kariah di 12 daerah di Kedah yang berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, bagi tujuan imarah masjid sempena Hari Raya Aidiladha, untuk 588 buah masjid, saya luluskan RM5,000,"katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele di Kedah.
Sementara itu, sebanyak 88 institusi pendidikan Islam termasuk pondok, tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di negeri Kedah menerima bantuan berjumlah RM6.4 juta.
Menurut Datuk Seri Anwar, bantuan berkenaan adalah bertujuan bagi membaik pulih serta menaik taraf kemudahan pendidikan sedia ada.
Selain itu, 36 buat institusi pendidikan Islam di negeri berkenaan turut menerima bantuan pendidikan berjumlah RM604,180 untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya.
Manakala 28 buah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat berdaftar lain di negeri itu menerima sejumlah RM1.985 juta bagi tujuan pendidikan serta kebajikan guru dan pelajar.
Bantuan berkenaan diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Majlis Sambutan Jubli Intan SMA Nahdhah Hasanah Melele turut dihadiri Menteri pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Agama Datuk Na'im Mokhtar.
(Majlis Sambutan Jubli Intan SMA Nahdhah Hasanah Melele turut dihadiri Menteri pendidikan
Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Agama Datuk Na'im Mokhtar)