fb fb fb fb fb

Isu kedaulatan Blok ND6 dan ND7 masih belum dimuktamad

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Isu berkaitan kedaulatan Blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) di kawasan Laut Sulawesi masih belum dimuktamadkan kerana wujud pertikaian persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk meneliti perkara itu secara mendalam dan mencari persefahaman bersama menerusi rundingan berdasarkan mekanisme sedia ada.

“Dalam proses ini, ia mesti dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah. Perbincangan akan disambung pada 29 Julai ini di Jakarta, dan Ketua Menteri Sabah juga akan turut serta dalam rombongan,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan kepentingan Sabah turut diambil kira secara adil dalam sebarang keputusan berkaitan isu persempadanan.

“Sabah masih belum memberi persetujuan, dan kerajaan Persekutuan juga belum membuat sebarang keputusan. Maka, sebarang cadangan akan dibincangkan terlebih dahulu dalam semangat hubungan dua hala,” jelasnya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald sebelum itu membangkitkan persoalan mengenai bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 yang mengesahkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Ligitan dan Sipadan boleh mempengaruhi penentuan sempadan maritim di kawasan tersebut, termasuk melibatkan kedaulatan blok ND6 dan ND7.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN